Latar Belakang

Program Pengkomersialan R&D Negara atau Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY 2016) merupakan program untuk melonjakkan hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R,D&I) daripada universiti, institusi, agensi penyelidikan tempatan sebagai penjana kekayaan melalui proses pengkomersialan. MCY 2016 juga diilhamkan sebagai satu platform untuk meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan dan rakyat tentang kepentingan dan potensi inovasi dan pengkomersialan dalam meningkatkan pendapatan negara.

Bagi menyokong aktiviti R,D,&I, Kerajaan telah menyediakan pelbagai jenis dana bagi menyokong setiap fasa pelaksanaan R&D dan pengkomersialan (R,D&C) di dalam ekosistem pengkomersialan negara. Sebagai tambahan kepada sokongan dana, Kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan fizikal dan khidmat nasihat seperti pusat inkubasi, infrastruktur R,D&C, bantuan pemasaran dan audit teknologi menerusi pelbagai agensi Kerajaan.

Secara umumnya, pelaksanaan R&D perlu melalui lima (5) peringkat pelaksanaan, iaitu idea/konsep; teori/asas; prototaip/pembuktian konsep; pra-pengkomersialan; dan pengkomersialan. Pengkomersialan R,D&I merupakan suatu proses yang kompleks dan mencabar khususnya antara fasa pra-pengkomersialan dan pengkomersialan disebabkan oleh faktor-faktor seperti kekangan kewangan, persaingan dengan produk sedia ada, persepsi kualiti dan penerimaan oleh pengguna, pematuhan kawal selia, pertikaian hak harta intelek dan sebagainya. Kebanyakan produk R&D sukar melepasi fasa interim ini yang dikenali sebagai “valley of death”. Justeru, inisiatif MCY meningkatkan keberkesanan usaha pengkomersialan menerusi kerjasama sinergi pelbagai pihak berkepentingan.