Mesyuarat Ke-14 Governing Council of The Centre for Science and Technology of The Non-Aligned and Other Developing Countries (NAM S&T CENTRE)
28/09/2017Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2017 (MCY Summit 2017)
18/12/2017
MAJLIS PELANCARAN PORTAL MCY OLEH YB MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
Kuala Lumpur, 13 Oktober 2017 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, pada hari ini telah melancarkan Portal Tahun Pengkomersialan Malaysia (https://mcyportal.mosti.gov.my/). Portal ini telah dilancarkan sempena program National Innovation and Creative Economy (NICE) EXPO 2017 yang telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 12 Oktober 2017. Program NICE’17 sedang berlangsung sehingga 16 Oktober 2017 di Technology Park Malaysia (TPM), Pusat Sains Negara (PSN) dan Planetarium Negara.
Portal MCY dilancarkan sebagai pelengkap kepada inisiatif Tahun Pengkomersialan Malaysia atau MCY. Tahun Pengkomersialan Malaysia telah bermula sebagai Tahun Pengkomersialan MOSTI pada tahun 2014 dan 2015 dan selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk memberikan fokus yang lebih kepada aspek pengkomersialan inisiatif ini telah diperluaskan ke peringkat nasional dan dikenali sebagai Tahun Pengkomersialan Malaysia bermula pada 2016.
MCY merupakan satu inisiatif NBOS (Strategi Laut Biru Kebangsaan) yang dijalankan oleh MOSTI dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF). Melalui MCY, pelbagai agensi, universiti dan pihak swasta sedang menggiatkan lagi usaha pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara. Salah satu daripada lapan (8) pendekatan sinergi MCY adalah Perkhidmatan Maklumat yang antara lainnya bertujuan mengintegrasi data penyelidikan dan maklumat berhubung aktiviti pengkomersialan. Inisiatif pembangunan Portal MCY merupakan salah satu daripada aktiviti di dalam pendekatan Perkhidmatan Maklumat tersebut.
MOSTI telah membangunkan Portal MCY sebagai satu usaha untuk menyediakan platform interaktif setempat yang akan mengandungi maklumat inisiatif Kementerian/Agensi mengenai aktiviti pengkomersialan. Laman interaktif MCY ini pada asalnya telah bermula sebagai satu halaman (page) sahaja. Usaha untuk menaiktaraf kepada satu Portal MCY yang penuh dilakukan sejajar dengan keperluan semasa bertujuan untuk menyemarakkan penyebaran maklumat mengenai MCY dan juga mengenai produk dan perkhidmatan yang sedia ada.
Untuk maklumat lanjut, layari mcyportal.mosti.gov.my.
Disediakan oleh:
Sekretariat MCY
Bahagian Pemindahan Teknologi & Pengkomersialan R&D
Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi
sekretariatmcy@mosti.gov.my